
Benarlah, rumah tangga ummah ini
sedang tergugah. Ertinya, kubu kita yang terakhir sudah ditembusi.
Apabila dilaporkan setiap 15 minit berlaku satu perceraian, kita menjadi
benar-benar bimbang. Betapa banyak ‘masjid’ yang roboh dalam masa
sehari jika setiap 15 minit berlaku satu perceraian?
Akan tercapaikah perintah Allah agar
“selamatkan dirimu dan keluargamu daripada api neraka?”. Akan adakah
lelaki yang terbaik sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah,
maksudnya”dia yang terbaik ialah yang terbaik dengan keluarganya?” Ramai
isteri mahupun suami menghubungi saya, meminta pandangan, saranan dan
nasihat… Terus-terang saya katakan saya juga tidak berdaya. Sumbangan
saya hanya tulisan dan buku. carilah di situ, Itulah sumbangan kecil
saya. Mudah-mudahan, adalah sedikit panduan. Kali ini saya paparkan satu
tulisan sebagai peringatan buat diri dan semua pengunjung :
ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH..
Mengapa sukar benar hidup bersamanya?
Mengapa kini dia berubah laku? Kenapa dia tidak seperti yang saya
harapkan dulu? Padahal dia ada pilihan saya setelah solat istiharah.
Apakah solat istikharah saya itu tersalah. Atau saya tidak faham
petunjuk sebenar daripada Allah hasil istikharah saya dahulu? Saya
sungguh menyesal.
Begitulah antara suara rintihan dan
kelohan yang kerap kita dengar samada daripada mulut isteri atau suami
setelah beberapa lama mengharungi kehidupan rumah tangga. Apabila ‘warna
sebenar’ pasangan kita terserlah yakni setelah lima tahun rumah tangga
berumah tangga, maka pada waktu itu ada yang ‘reverse’ ke belakang,
dirasakannya masalah kini adalah akibat tersalah membuat pilihan pada
awal perkahwinan.
Ini bukan muhasabah yang sehat.
Sebaliknya, ini adalah satu musibah yang berat. Tidak ada gunanya
‘menggergaji abuk kayu’. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali.
Kesalahan atau kesilapannya tidak akan dapat diperbetulkan lagi.
Sebaiknya bersangka baiklah kepada Allah… dia suami atau isteri kita itu
ialah takdir yang telah maktub untuk kita. Dia dan kita telah
ditakdirkan Allah hidup bersama.
Jangan ada di dalam hati kita rasa
menyesal, rasa terlanjur, yang kita telah tersalah pilih. Tidak
sekali-kali. Sekalipun pilihan kita tepat, tetapi kita tetap diuji.
Maksudnya, istikharah yang betul dan tepat sekalipun bukanlah jaminan
untuk kita tidak diuji. Istikarah kita tetap mengundang musibah… kerana
itulah sunnatullah yang tidak berubah-ubah dan tidak sekali-kali
bertukar ganti. Hidup dan mati kita adalah untuk di uji. Dunia dan medan
rumah tangga hakikatnya adalah medan ujian siapakah diantara kita yang
terbaik amalannya.
Pasrahlah dengan pilihan yang kita telah
lakukan lewat istkharah. Kata bijak pandai, setiap perkahwinan dibina
atas dasar niat, harapan dan impian yang baik namun setiap pasangan
suami isteri bertanggung jawab memupuk, membajaai dan menjaga benih
kebaikan itu agar tumbuh menjadi pohon yang rendang. Perkahwinan Nabi
Adam dan Siti Hawa yang berlaku di syurga itupun ditakdirkan terdampar
di dunia untuk diuji dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan.
Jika sesat di hujung jalan, balik ke
pangkal jalan…ya itu sekiranya pangkal jalan kita salah. Namun bagaimana
jika pangkal jalan kita sudah benar tetapi kita menghadapi masalah di
tengah perjalanan? Jawabnya, teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik.
Namun telitilah satu persatu apa yang kita telah tersalah, belajar
daripadanya. Jangan ulangi kesalahan yang sama berulang kali… cukup
hanya sekali kerana orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang
yang sama dua kali.
Jangan salahkan istikharah kerana itu
sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah. Apa yang
penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma
setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan
diuji. Ingat selalu, pilihan yang tepat hasil istikharah itu umpama
benih yang baik. Ya, benih yang baik sekalipun memerlukan baja, cahaya,
air dan dijaga dari gangguang serangga untuk bertunas, berdaun, berbunga
dan akhirnya berbuah. Jadikanlah diri kita suami atau isteri yang
umpama tukang kebun yang rajin bekerja di kebun cinta!
Carilah semula di mana iman kita
letakkan di dalam rumah tangga kita. Bukankah iman yang kita yakini
dulu, kini dan selama sebagai dasar dalam pembinaan sebuah keluarga
bahagia? Justeru, semak semula niat di hati, apakah rumah tangga kita
masih fokuskan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Jika dahulu
dasar istikharah kita untuk menjadi dan mencari pasangan yang soleh dan
solehah, apakah kita masih berjalan di garis itu? Atau niat kita sudah
sedikit melencong kerana hentakan ujian dan cabaran dalam berumah
tangga?
Ingat kembali bagaimana cinta kita
bermula. Bagaimana istikharah telah menyatukan kita. Dengan hati yang
jitu terbinalah rumah-tangga atas niat ingin menunaikan perintah Allah.
Di situlah simpulan cinta dia dan kita diikat melalui akad nikah yang
sah. Maka dengan nama Allah terdirilah sebuah rumah-tangga ini.
Mesjid adalah ‘rumah’ Allah, maka
begitulah sebuah rumah-tangga yang dibina atas nama Allah – ia umpama
sebuah mesjid yang didalamnya suami, isteri dan anak-anak akan
menegakkan hukum-hakam Allah. Jika berlaku sesuatu yang kusut dalam
rumah-tangga, maka dengan mudah ia dapat diuraikan sekiranya suami dan
isteri kembali merujuk ke pangkal penyatuan mereka dahulu yakni Allah.
Dengan nama Allah kita bertemu (bernikah), maka kepada Allah jua kita
merujuk segala-galanya sepanjang perkahwinan ini.
Ertinya, Allah itu bukan sahaja perlu
dirujuk ketika awal pemilihan semasa kita beristkharah, tetapi di
pertengahan, di hujung sehingga ke akhir perjalanan sebuah rumah tangga.
Tuhan telah menyediakan kebahagiaan untuk setiap pasangan yang berumah
tangga, tetapi kita perlu berusaha untuk mencari dan mendapatkan
kebahagiaan yang telah disediakan itu. Allah telah menyediakan rezeki
untuk burung… tetapi burung perlu terbang untuk mendapatkannya!
Jika ada iman, besarlah cita-cita.
Apabila besar cita-cita, menjadi keillah masalah. Keluarga yang dibina
atas dasar akidah juga mampu berdepan dengan apa jua ujian. Samada ujian
itu dalam bentuk kekurangan harta benda, pergeseran jiwa, perbezaan
fikiran atau pertembungan emosi antara suami dengan isteri atau ibu-bapa
dengan anak-anak. Kesatuan hati mudah dibina dengan sama-sama
meletakkan Allah sebagai kuasa Pencatur dan Pengatur dalam apa jua
tprogram, dan aktiviti di dalam rumah-tangga.
Jika berlaku ujian kesusahan atau
sesuatu yang tidak diingin, sikap menyalahkan orang lain kurang berlaku
kerana masing-masing melihat kelemahan diri sendiri sebelum menuding
jari kepada orang lain. Kemudian sama-sama menerima semua itu sebagai
takdir lalu berusaha mengatasinya mengikut lunas-lunas yang dikehendaki
Allah.
Ya, tentu ada marah. Ya, pasti ada
sedih, terkilan atau apa sahaja. Namun kemarahan, kesedihan, terkilan
dan apa sahaja rasa-rasa yang negatif hanya sementara, cuma seketika…
cita-cita yang besar (untuk hidup bersama di syurga) menyebabkan kita
mampu memaafkan, meminta maaf dan akhirnya melupakan… dan kemudian
pelayaran diteruskan lagi untuk menuju cita-cita besar itu.
Istikharah bukan sahaja mengundang
musibah. Istikharah juga menuntut mujahadah. Syurga itu maharnya
mujahadah. Justeru tekanlah sifat-sifat mazmumah (buruk) sehingga ke
paras paling minima. Bermujahadahlah kerana Allah bukan hanya untuk
mendapat penghargaan suami atau isteri. Isteri perlu mujahadah mentaati
suami walaupun ketaatannya itu mungkin tidak dibalas dengan setimpal
kerana dia berbuat demikian bukan mengharapkan balasan suami tetapi
semata-mata kerana Allah. Walaupun takdirnya suami seorang yang
menderhakai Allah tetapi itu bukanlah sebab untuk menderhakainya selagi
apa yang disuruh atau dikehendakinya tidak berlawanan dengan kehendak
Allah.
Inilah ketaatan yang diberikan oleh
wanita solehah – Siti Asiah isteri kepada Firaun yang terkenal kerana
derhakakan Allah. Siti Asiah berbuat baik kepada Firaun bukan kerana
mengharapkan balasan Firaun tetapi hanya semata-mata taatkan perintah
Allah yang menyuruh seorang isteri taatkan suaminya walaupun suaminya
seorang penderhaka. Hanya apabila menyentuh soal akidah, Siti Asiah
bangun melawan dan akhirnya terbunuh sebagai syuhadak.
Begitulah suami yang memberi kasih
sayang. Apa jua karenah isteri, terimalah dengan redha dan teruslah
mendidik dan mendoakannya. Mungkin itu adalah takdir yang harus diterima
kerana itulah jalan menuju syurga. Raihlah pahala dan kemuliaan seperti
Nabi Ayub, Nabi Lut, Nabi Nuh, yang bersabar menghadapi isteri yang
derhaka demi mengharap redha daripada Allah. Isteri itu pemberiaan
daripada Allah, baik dan buruknya adalah untuk menguji kita. Jangan
hanya dilihat pada pemberiannya (isteri) tetapi lihatlah siapa yang
memberinya (Allah).
Apabila sebuah keluarga benar-benar
beriman maka mudahlah mereka menerima syariat sebagai peraturan. Orang
yang yakin dengan Allah, pasti yakin dengan peraturan-Nya. Syariat
adalah jalan atau platform untuk menuju matlamat yang telah ditetapkan
bagi sebuah keluarga. Jika matlamat jelas tetapi jalannya kabur, maka
tidak mungkin matlamat itu tercapai. Cita-cita menuju Allah memerlukan
kita melalui jalan yang telah dibentangkan-Nya dalam Al Quran dan As
Sunnah. Jalan itu ialah syariat.
Oleh itu syariat yang merupakan
peraturan-peraturan dari Allah itu mestilah menjadi panduan sepanjang
melayari kehidupan berumah-tangga. Ia adalah ‘writen law’ yang mesti
dipatuhi oleh setiap anggota keluarga. Tidak ada siapa walaupun suami
atau ayah (pemimpin dalam rumah tangga) yang harus berada ‘above the
law.’ Semuanya tertakluk kepada hukum wajib, haram, sunat, harus dan
makruh dalam setiap perlakuan dan tindakan.
Pendek kata dalam rumah-tangga yang
menerima syariat sebagai jalan dan peraturan tidak timbul soal ‘Queen
Control’ atau ‘King Control’ tetapi suami, isteri dan anak-anak
sama-sama tunduk kepada Allah – Raja segala raja. Tidak timbul siapa
yang menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan atau siapa lebih
bijak dalam suatu perdebatan.
Apabila iman dijadikan matlamat, syariat
diambil sebagai jalan maka dengan sendirilah berbuahlah akhlak dalam
keluarga tersebut. Akhlak adalah natijah hasil mengikut jalan yang jelas
berpaksikan matlamat yang tepat. Tanpa iman dan syariat tidak mungkin
akhlak dapat dihasilkan. Di sinilah salahnya kita, kita menyangka
istikharah itu segala-galanya. Padahal ia baru mukaddimah. Ya,
terkadang kita terlalu cepat bercakap soal buah sebaik menanam biji
benih tanpa menyedari banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendapat
pokok yang baik .
Di sinilah letaknya kunci ke arah
pelaksanaan pakej kebahagiaan bagi sebuah keluarga. Bermula dengan
istikharah, dilalui oleh mujahadah, dan akhirnya barulah membuahkan
rahmah dan mawaddah. Islam memberi penyelesaian menjurus dan tembus
kepada punca pemasalahan bukan mengubat gelaja-gejala atau
akibat-akibatnya berkisar pada formula-formula pinggiran.
Ya, sebagai hamba Allah, merujuk kepada
Allah bererti pengabdian secara total kepada kehendak dan peraturannya.
Dan bila ini ingin dilakukan kita terpaksa kembali ke pangkal segala
urusan yakni beriman kepada-Nya. Roh istikharah (merujuk kepada Allah)
itu bukan hanya diawal perkahwinan, tetapi di pertengahan, di
sepanjangnya, sehinggalah sampai ke hujungnya… syurga. Inilah istikharah
cinta!
Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan indahnya permulaan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan persengketaan…
sepanjang perkahwinan
Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh retaknya ukhwah
Sejauh mana kasih cinta kita berdua
Dibatasi oleh cinta kita pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah percintaan
Isteriku…
Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!
Isteriku…
Istikharah cinta kita…
Inilah tagihannya
Istikharah cinta kita…
Mujahadah itulah maharnya!
*http://genta-rasa.com/2012/03/07/istikharah-itupun-perlu-mujahadah/
2 comments:
semoga jodoh kita berpanjangan :)
apa yang penting, komunikasi..
InsyaAllah bro.
Moga Allah permudahkan.
Post a Comment