
Ramadhan datang dan pergi. Apakah kembara hidup kita terus dinaungi oleh teduh keberkatannya? Tahun demi tahun, apakah kita semakin menghampiri takwa yang menjadi tujuannya? Atau ia terus memecut, berlalu… meninggalkan kita yang masih bertatih mengejar kemuliaannya. Manalah tahu nyawa terhenti dan Ramadhan terus tidak sempat kita cecah walau secebis rahmat, keberkatan, maghfirah, apatah lagi Jannah yang menjadi tagihannya.
“Apa perubahan yang kita nak buat tahun ni?” tanya isteri.
Saya termenung, banyak… tapi mampu kah.
“Kita teruskan berbuka bersama di masjid. Kemudian menunggu Isyak, baca Quran dan solat Terawih.”
“Perubahan yang sama sahaja,” kata isteri seakan merungut.
“Itu pun payah kita buat kan?” tingkah saya.
Teringat betapa ada ‘protes-protes’ yang terpaksa saya hadapi sewaktu melaksanakan program perubahan itu dua tahun lalu. Semua pihak terasa kehilangan rutin atau kebiasaan masing-masing dengan pelaksanaan program itu. Along, tak mahu berterusan di mesjid (dari sebelum maghrib hingga selepas terawih) kerana kehilangan rutinnya, nak ‘relaks-relaks’ selepas solat maghrib....